Pages

ORYSENSE

Orysense

KAWANKU ATUL, SHILA, BIELA, NAD DAN GEE

Belajar dalam bidang kreatif, kalau gagal memang ‘sakit’. Begitulah apa yang saya dan lima lagi rakan rasa ketika itu. Namun kegagalan itulah yang membuat kami menjadi rapat. Siapa sangka, peluang kedua selama sebulan menjadikan kami rapat dan boleh bekerjasama dengan baik. Dalam tempoh sebulan, saya, Atul, Shila, Biela, Nad dan Gee telah menempuh pelbagai kesulitan dan ragam pelik yang pasti akan kami kenang sampai bila – bila. Eh...tetapi memang pelajar seni bina punya ragam yang pelik – pelik. Maklumlah, terlebih kreatif.
Perkara pertama yang membuat kami runsing ialah mencari tempat untuk berteduh selama sebulan. Takkanlah mahu menyewa bilik hotel politeknik pula. Kami bukan anak orang kaya. Rata – rata pemilik rumah yang waras pasti tak mahu menerima penyewa selama sebulan sahaja. Mahu menumpang rumah kawan – kawan, err...percayalah, pembaca semua pasti tak mahu tinggal serumah dengan pelajar seni bina. Setelah bertungkus lumus mencari rumah, akhirnya, ada juga yang sudi menerima kami berenam. Terima kasih adik - adik junior!! Jasamu dikenang!
Kami berenam berkongsi bilik utama, yang mana sepatutnya kapasiti maksimum penghuni bilik tersebut sepatutnya untuk tiga orang. Bayangkan, betapa sesaknya bila kami sama – sama berada dalam bilik untuk waktu tidur dan waktu bersiap pergi ke kelas! Seperti ikan sardin terhimpit beramai – ramai dalam tin lagaknya. Itu baru cerita bilik, belum lagi cerita perjalanan ke kelas. Hendak dijadikan kisah, Shila memiliki sebuah kereta kompak Kancil yang diberi oleh ibu bapanya. Dengan kereta itulah kami berenam pergi ke kelas setiap hari. Gila kan kami? Pada mulanya, saya dan Atul mahu jalan kaki sahaja tetapi Shila, membantah. Katanya tidak seronok meninggalkan kawan di belakang. Katanya lagi, susah dan senang biar bersama. Akhirnya, saya dan Atul bersetuju untuk menambah sempitkan ruang dalam Kancil. Sudahlah kami ini “kecil – kecil” sahaja. Kadang – kadang rasa kasihan dengan Kancil Shila. Harus dipandu perlahan setiap kali mahu melepasi bonggol di jalan raya. Jika tidak, alamat sangkutlah. Kan kami semua “ringan – ringan” orangnya?
Pada suatu malam, sedang kami bersiap – siap mahu tidur, Atul tiba – tiba bersuara.
“Nik, tolong hulur SALIHIN Atul”
Dengan serta merta mata yang kuyu terus menjadi segar. Dengan tidak disangka - sangka, yang lain juga mendengar. Apa lagi, memang sepanjang malam Atul kena usik dengan kami. Apatah lagi Salihin itu kacak orangnya. Sebenarnya Atul mahu saya ambil selimut. Dia mahu menggunakan bahasa tambahan yang selalu saya suka – suka tambah dalam satu – satu perkataan. Sepatutnya Atul menyebut ‘SEHELIMUT’, entah bagaimana pula dia boleh tersasul menyebut si kacak Salihin itu. Insiden ini menyebabkan satu permainan tercipta antara kami. Permainan ini dinamakan Permainan Salah Cakap. Mangsa – mangsa yang tersasul ketika bercakap akan dicatat ayatnya. Perkataan yang salah akan digariskan dan perkataan yang betul diberikan. Tiada apa – apa denda pun bagi mangsa, Cuma kena gelak dan kena bahan sehari suntuk sahaja. Permainan ini melibat semua sepuluh pelajar dalam kelas, termasuk termasuk studio master kami, Encik Faizal. Berani sungguh kami mengenakan pensyarah kan? Tetapi kerana permainan ini, kami lebih berhati – hati menyusun ayat untuk bercakap dan hasilnya, pembentangan projek kami menjadi sangat bagus dan teratur bahasanya.
Sebulan berlalu dengan pantas. Pejam celik, selamat sudah kami menempuh semua kesusahan. Mungkin kami tidak serapat dahulu memandangkan masing – masing sudah memilih haluan dan jalan hidup sendiri. Namun saya yakin, apa yang saya kongsi di sini masih kekal dalam memori kawan – kawan saya yang lain. Yang pasti, kami masih kekal sebagai kawan walaupun dipisahkan oleh jarak dan masa.
Capture
p/s: entri ini dibuat khas untuk Pertandingan 'Kawanku....' oleh Husna Adnan. klik untuk menyertai okey.

2 comments:

Husna Adnan said...

Salam,

Terima kasih Salhah kerana sudi menyertai pertandingan ini.

Selamat maju jaya! (^_^)

Unknown said...

@Husna Adnanterima kasih!